Tuesday, April 8, 2008

Tarbiyyah dan dakwah

Assalamualaikum….
Tarbiyyah dan dakwah….

Jika dilihat tarbiyyah dan dakwah ini perlu seiringan. Ibarat isi dan kuku saling melengkapi antara satu sama lain. Tiada ertinya tarbiyyah tanpa dakwah, dan tiada ertinya dakwah tanpa tarbiyyah.

Tarbiyyah tanpa dakwah..

Tarbiyyah itu adalah potensi seperti air di dalam tubuh manusia. Sememangnya air amat diperlukan dalam tubuh badan manusia. Terdapat kira-kira 70% air dalam tubuh badan manusia. Walaubagaimanapun, ia perlu bergerak dan dijelmakan dalam bentuk yang pelbagai seperti darah dan sebagainya. Jika air itu diperam didalam badan dan ia tidak dibuang, ia akan menyebabkan penyakit kepada tubuh badan manusia. Maksudnya disini, segala ilmu dan potensi yang dibina dalam tarbiyyah yang tidak diterjemahkan dalam bentuk aplikasi dakwah akan menyebabkan seseorang itu penuh dengan penyakit hati sehingga lebih suka menjadi penghukum daripada menyeru kearah kebenaran. Tanpa dakwah, tarbiyyah akan merosakkan diri seseorang kerana merasakan dirinya sahaja yang betul dan individu lain salah.

Dakwah tanpa tarbiyyah..

Tarbiyyah adalah seperti minyak yang menyediakan tenaga dan menyalurkan kekuatan dan menjadi modal kepada pendakwah. Jika pada awlnya si pendakwah bersemangat untuk mengajak manusia ke arah kebaikan, ia akan ketandusan minyak jika tidak dibekalkan dari semasa ke semasa. Apabila ia ketandusan minyak, bukan sahaja dakwah tidak dapat dilaksanakan dengan baik malah kadang-kadang si pendakwah itu sendiri aka merasa letih dan tidak mahu meneruskan kerja dakwah. Inilah asas kepada keguguran di medan dakwah. Tarbiyyah yang kurang mantap memudahkan seseorang itu gugur daripada jalan yang mulia ini.

Semakin lama seseorang itu berada di jalan dakwah ini, dia akan dapat merasakan kejenuhan dan kelelahan di jalan ini.
Kejenuhan seperti inilah jika ia tidak dirawat pasti akan merebakkan penyakit yang lebih parah, iaitu seseorang itu mudah futur dan berguguran di jalan dakwah ini. Ayuhlah wahai ikhwah dan akhwat, bersihkan kembali hati kita, ikhlaskan kembali niat kita. Semoga Allah akan memudahkan usaha kita dalam rangka menyeru dan mengejutkan kembali umat Islam yang masih lena dibuai mimpi-mimpi indah... "Barangsiapa yang langkah permulaannya telah dicemari dengan niat-niat yang tidak bersih maka dia tidak akan sanggup untuk terus berada di dalam jalan dakwah ini..." -Muhammad Ahmad ar-Rasyid. Wallahualam....

"Tarbiyyah bukanlah segala-galanya, tetapi segalanya sia-sia tanpa tarbiyyah"