Friday, May 2, 2008

Tingkatkan Amalanmu

Saudaraku,

Sesaat kita merenung diri kita cukup untuk menilai sejauh mana ketaatan kita kepada Allah ta’ala. Merenung setakat manakah keimanan terhadap Yang Maha Kuasa dan settingi mana pengorbanan yang telah dicurahkan untuk mentaati Allah ta’ala. Cukuplah dengan sabda nabi s.a.w bahawa orang yang bijak dan cerdik ialah mereka yang sentiasa menilai diri mereka dan beramal untuk persediaan selepas kematian. Hisablah amalan kita sebelum ia dihisab. Sudah tentu kita meyakini bahawa allah tidak menjadikan kita sia-sia. Firman Allah ta’ala: “Maka apakah kamu mengira bahawa sesungguhnya kami menciptakan kamu secara main-main dan bahawa kamu tidak akan dikembalikan kepada kami.” (al-mukminun: 115)


Menyedari hakikat ini, ketaatan perlu dibuktikan dengan amal soleh. Amalan soleh yang perlu disertakan dengan keikhlasan, keazaman dan keinsafan sehingga kita dapat merasakan kemanisan dan kelazatan beribadah. Ahmad bin Harb berkata: Bahawa aku telah menyembah Allah ta’ala selama lima puluh tahun dan aku tidak mendapati kemanisan beribadah sehingga aku meninggalkan tiga perkara. Pertama, aku meninggalkan keredhaan manusia sehingga aku data menyuarakan kebenaran. Kedua, aku jauhi daripada bersahabat dengan orang fasiq sehingga aku dapat bersama-sama para solihin. Ketiga, aku tinggalkan kelazatan dunia sehingga aku dapat merasai kemanisan akhirat.

Saudaraku,

Ketaatan apakah yang kita fahami selama ini?... Amal soleh apakah yang kita kerjakan sehingga hati masih lalai dan lupa untuk meninggalkan maksiat dan larangan Allah ta’ala, hitam dan kotor dihinggapi syaitan durjana. Apatah lagi jika sudah tidak ada saki baki di dalam hati untuk ditempatkan cahaya dan nur Allah ta’ala. Firman Allah ta’ala: “Sesungguhnya beuntung orang yang menyucikan jiwa itu dan sungguh rugi orang yang mengotorinya.” (as-syams: 9-10)

Diriwayatkan dari Anas r.a, ia berkata: “Sesungguhnya Muaz bin Jabal pernah menghadap Rasulullah ketika beliau sedang menangis. Lalu Rasulullah s.a.w bertanya, bagaimana keadaanmu hari ini wahai Muaz?. Muaz menjawab, saya seorang mukmin yang benar. Nabi bersabda, setiap perkataan itu harus ada buktinya, maka apakah bukti perkataanmu itu?...

Saudaraku,

Syahadah yang kita ucapkan perlu dibuktikan, iman yang kita yakini perlu diiringi dengan buah amalan yang merupakan satu-satunya bentuk ketaatan lahiriah semata-mata kerana Allah. Firman Allah s.w.t: “…Dia adalah tuhan kami dan tuhan kamu. Bagi kami amalan kami dan bagi kamu amalan kamu dan hanya kepada-Nya kami dengan tulus mengabdikan diri.” (al-baqarah: 139) Tidak ada sesuatu yang akan menyucikan hati kita melainkan kefahaman yang dilahirkan dengan amalan. Amalan inilah yang akan menjaga kemaslahatan kita di dunia dan akhirat. As-Syahid Hasan al-Banna mengatakan bahawa beliau melihat ramai manusia yang membaca dan mempunyai ilmu, tetapi sukar bagi mereka untuk menukarkan ilmu tersebut dalam bentuk amalan. Apa yang kita inginkan hanyalah redha Allah. Iringan amalan perlu diperkuatkan berterusan sehingga tidak pudar amalan apabila lemah imannya. Jadikan amalan sebagi bukti pengakuan atau ucapan syahadah kita kepada Allah ta’ala